From: "Syed Johari" <syedjoe@hotmail.com>
To: <jihad@egroups.com>; <Dakwah@egroups.com>
Subject: [Dakwah] Fiqh Awlawiyat
Date: Friday, 23 June, 2000 18:28
>Ummah Gagal Fahami Keutamaan - Pandangan Dr. Yusuf Qardhawi Menerusi Fiqh
>Awlawiyat
>
>
>Masyarakat hari ini sering kehilangan arah dalam melaksanakan sesuatu
>amalan, sehingga menimbulkan ketidak seimbangan dan kekeliruan dalam amalan
>yang dilakukan. Hakikat ini disedari oleh Dr. Yusof Qardhawi, seorang ulama
>kontemporari, yang menyarankan peri pentingnya umat Islam memahami
>keutamaan dalam melaksanakan amal Islami. Hasil pemikiran beliau lalu
>terhasillah sebuah kitab Fiqh al-awwlawiyat (Memahami Keutamaan) yang
>diterbitkan tiga tahun lalu. Kitab tersebut memaparkan topik yang penting
>kerana perbincangannya mengemukakan suatu jalan keluar terhadap kebuntuan
>pemikiran dan tindakan ummat Islam. Persoalan tentang perkara yang perlu
>diutamakan dan perkara yang perlu dikemudiankan merupakan pertimbangan dan
>penilaian yang wajar dibuat untuk mengangani masalah ummah.
>
>Dr. Yusof Qardhawi pada awalnya memperincikan bentuk keutamaan-keutamaan
>dalam beramal bagi mengelak sebarang bentuk kekaburan. Lantas mencetuskan
>sesuatu perkara yang tidak penting lebih diutamakan dari sesuatu yang
>penting. Pada masa yang sama sesuatu yang penting diabaikan dengan
>mendahulukan yang tidak penting. Sedangkan sepatutnya sesuatu yang
>sewajarnya didahulukan mesti diutamakan berbanding perkara yang tidak
>penting. (dalil surah ar-Rahman: 7-9). Pada asasnya sesuatu nilai dan hukum
>adalah berbeza dan tidak berada pada satu tahap sahaja. Ada sesuatu perkara
>yang besar dan ada pula yang kecil, ada sesuatu perkara itu merupakan asas
>dan ada juga yang cabang; ada yang berbentuk rukun dan ada pula sekadar
>pelengkap sahaja; ada pula persoalan yang menduduki tempat utama tetapi ada
>pula yang hanya merupakan persoalan sampingan semata-mata. Contohnya dapat
>dikaitkan dengan hadis Rasulullah saw yang bermaksud: Iman itu mempunyai
>lebih daripada tujuh puluh peringkat; yang paling tinggi antaranya ialah La
>ilah illa Allah, dan yang paling rendah ialah membuang penghalang yang ada
>dijalan.
>
>Meneliti keadaan ummat Islam masakini Dr. Yusof Qardhawi menjelaskan
>penyelewengan yang dilakukan oleh umat Islam kini akibat ketidakseimbangan
>penumpuan keutamaan dalam bidang-bidang tertentu baik dari segi kebendaan
>mahupun kerohanian, pemikiran, sosial, ekonomi, politik dan sebagainya.
>Contoh ketara yang diutarakan oleh beliau, berkenaan dengan dunia seni dan
>hiburan yang sentiasa diberikan keutamaan dan didahulukan berbanding dengan
>persoalan yang berkaitan ilmu pengetahuan dan pendidikan. Begitu juga dalam
>kegiatan belia dan remaja, penumpuan lebih ditumpukan kepada aktiviti sukan
>yang berlebihan berbanding dengan pembinaan mental. Natijahnya
>mengakibatkan pembentukan belia dan remaja itu lebih terarah kepada
>pembinaan di sudut jasmaniah semata-mata hingga mengabaikan pembentukan
>kejiwaan, akal dan akhlak mereka. Hakikatnya yang berlaku kini bintang
>pujaan masyarakat yang paling terkenal bukanlah ulama atau ilmuwan, bukan
>juga pemikir atau pendakwah, tetapi pujaan mereka adalah para artis dan
>seniman termasuk penyanyi, pelakon, pelawak dan juga bintang-bintang sukan
>yang menjadi pujaan dan sanjungan mereka.
>
>Tidak cukup setakat itu, Dr. Yusof Qardhawi juga turut menyentuh bagaimana
>penyelewengan orang-orang yang beragama yang gagal memahami keutamaan
>walaupun amalan yang dilakukan itu tidak terkeluar dari batas syarak. Dalam
>urusan haji misalnya, Dr Yusof Qardhawi menekankan betapa kewajipan Haji
>hanya sekali seumur hidup. Tetapi hari ini ramai dikalangan kita yang
>membelanjakan wang ribuan ringgit untuk mengerjakan haji kali kedua dan
>melakukan ibadah umrah setiap kali menjelang Ramadhan. Sedangkan
>perbelanjaan tersebut lebih utama sekiranya ditumpukan kepada amal-amal
>yang lebih mendesak. Dr. Yusof Qardhawi menekankan betapa wang tersebut
>lebih baik diinfaqkan untuk membantu memerangai orang-orang Yahudi di
>Palestin, membantu kaum Muslimin di Bosnia; atau untuk menghadapi gerakan
>Kristianisasi di Indonesia, Bangladesh, atau negara-negara Asia dan Afrika
>lainnya. Atau penumpuan juga boleh dicurahkan untuk membantu membangunkan
>pusat-pusat Islam yang dapat mencanai kader-kader dakwah atau untuk
>mencetak, menterjemah dan menerbitkan buku-buku Islam yang sangat
>bermanfaat kepada masyarakat.
>
>Beberapa penyelewengan lain yang dilakukan ummat Islam dalam memahami
>keutamaan dalam melakukan tindakan turut diperjelaskan oleh Dr. Yusof
>Qardhawi. Antaranya ialah:
>
>1. Terdapat kaum Muslimin yang sentiasa bertengkar untuk memepertahankan
>diri dalam masalah-masalah juz'iyah atau masalah khilafiah. Sedangkan pada
>masa yang lain mereka melalaikan perjuangan Islam yang lebih besar dalam
>melawan musuh-musuh yang sentiasa memerhatikan gerak laku mereka. Contoh
>yang beliau bawa bagaimana kaum minoriti dan para pendatang yang tinggal di
>sebelah negara Barat (Amerika, Kanada, dan Eropah) ada mempersoalkan
>masalah jam tangan di mana harus dikenakan samada di tangan kiri atau
>kanan. Begitu juga memakai pakaian putih bagi menggantikan baju dan seluar,
>apakah ianya wajib atau sunat hukumnya? Masalah perempuan masuk ke masjid
>juga turut dipersoalkan. Begitulah perkara-perkara remeh yang diperbesarkan
>yang mengakibatkan membuang masa dan ianya lebih cenderung mencetuskan
>perpecahan antara mereka dan tenaga dicurahkan tanpa tujuan dan perjuangan
>yang tidak bermusuh.
>
>2. Terdapat juga individu yang tekun beribadah tetapi berlaku kasar dan
>keras kepada kedua ibu bapa dengan alasan mereka telah melakukan
>kemaksiatan dan menyimpang dari ajaran Islam. Sedangkan Allah mewasiatkan
>supaya berlaku baik kepada kedua ibu bapa walau pun mereka musyrik dan
>berusaha untuk membuat anak mereka menjadi musyrik.
>
>3. Ummat Islam juga memberikan penumpuan yang berlebihan kepada sebahagian
>rukun Islam dan mengabaikan rukun yang lain. Ada dikalangan masyarakat
>kadang-kadang lebih mementingkan puasa berbandaing solat. Umpamanya jarang
>kita lihat sepanjang Ramadhan orang Islam makan dikhalayak ramai tetapi
>apabila disuruh mendirikan solat ramai orang Islam yang mengabaikan.
>Seolah-olah puasa sudah menjadi adat dan bukan ibadat. Mesti ditunaikan
>walaupun tidak melakukan solat kerana tidak meriah menyambut hari raya jika
>tidak berpuasa.
>
>4. Terdapat juga sebahagian ummat Islam lebih memberatkan perkara-perkara
>sunat berbanding amalan yang fardhu. Ada dikalangan mereka yang
>memperbanyakkan zikir, tasbih,dan wirid tetapi melupakan kefardhuan lain
>seperti melayani kedua ibu bapa dengan cara yang baik, berjiran tetangga,
>mengasihi orang yang lemah, memelihara anak yatim, mencegah kemungkaran dan
>lainnya.
>
>5. Masih terdapat dikalangan ummat Islam yang sibuk memerangi
>perkara-perkara makruh dan syubhat dengan melalaikan untuk memerangi
>perkara yang haram yang telah tersebar luas didalam masyarakat. Begitu juga
>ada yang serius untuk menghapuskan dosa kecil dan melalaikan untuk membasmi
>dosa besar.
>
>Begitulah diantara penyelewengan dan ketidak seimbangan ummat Islam dalam
>melakukan tindakan dalam kehidupan seharian mereka. Justeru itulah Dr.
>Yusof Qardhawi menyimpulkan betapa semua umat Islam hari ini sangat perlu,
>bahkan sudah sampai kepada tahap darurat untuk 'memahami keutamaan' yang
>sewajarnya dibincang dan diperjelaskan sehingga ummat Islam mempunyai
>wawasan dan pandangan yang jelas untuk melakukan sesuatu perbuatan yang
>terbaik mengikut urutan keutamaan.