Bahrul Mazi Jilid 1 Mesjid Daerah Sungai Petani


176.) Mukasurat Bab : Yang telah datang pada menyatakan wuduk satu kali basuh bagi tiap-tiap anggota wuduk
Ketahuilah kiranya ya saudaraku, Imam Abu Isa Al-Termizi telah mengeluarkan hadis mengenai kelakuan Nabi SAW mengambil air sembahyang dengan satu kali basuhan pada tiap-tiap anggotanya.
Katanya - telah diriwayatkan daripada Ibn Abbas, bahawasanya apabila Nabi SAW mengambil air sembahyang maka dibasuhnya pada tiap-tiap anggota daripada anggota wuduknya satu kali basuhan.
Kata Abu Isa Al-Termizi ~ dan pada bab ini ada riwayat daripada Umar Al-Khattab, dan Jabir, dan Buridah, dan Abi Rafi', dan Ibn Al-Fakih.
Dan bermula hadis Ibn Abbas ini lebih ahsan suatu pada ini bab dan lebih asah.

177.) Bab : Yang telah datang pada wuduk dua kali basuh pada tiap-tiap anggota
Ya saudaraku, Imam Abu Isa Al-Termizi telah mengeluarkan hadis mengenai kelakuan Nabi SAW mengambil air sembahyang dengan membasuh pada tiap-tiap anggota wuduknya dua kali basuhan.
Katanya - telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW apabila mengambil wuduk maka dibasuhnya pada tiap-tiap anggota wuduknya dua kali basuhan.
Kata Abu Isa Al-Termizi ~ Bermula ini hadis hasan gharib. Tiada kami ketahui melainkan daripada hadis Ibn Tsauban dari Abdullah Al-Fadhal dan ialah isnad yang hasan lagi sahih. Dan pada bab ini ada diriwayatkan daripada Jabir.

178.) Mukasurat 69 Bab : Yang telah datang pada menyatakan wuduk ( Nabi SAW ) tiga kali membasuh pada tiap-tiap anggota
Bahawasanya telah dikeluarkan oleh Imam Abu Isa Al-Termizi mengenai hadis Nabi SAW membasuh anggota wuduknya dengan tiga kali basuhan pada tiap-tiap anggotanya.
Katanya - Dari Ali ibn Abi Talib, bahawasanya apabila Nabi SAW mengambil air sembahyang baginda melakukan tiga kali basuhan pada tiap-tiap anggotanya.
Kata Abu Isa ~ Dan pada bab ini ada riwayat daripada Usman, dan Al-Rubai'q, dan Ibn Umar, dan Ibn Umammah, dan Aisyah, dan Ibn Rafiq, dan Abdullah bin Amru, dan Muawiyyah, dan Abu Hurairah, dan Jabir, dan Abdullah bin Zaid, dan Ubai.
Kata Abu Isa ~ Bermula hadis Ali ini lebih ahsan suatu pada ini bab dan lebih asah.

179.) Bab : Pada menyatakan mengambil air sembahyang sekali dan dua kali dan tiga kali basuh pada tiap-tiap anggota wuduk
Ya saudaraku, di dalam bab ini Imam Abu Isa Al-Termizi meriwayatkan hadis bahawa Nabi SAW pernah mengambil air sembahyang, di mana sekali basuhan pada tiap-tiap anggota pun diperbuatnya ; dua kali basuhan pun pernah diperbuatnya ; dan tiga kali basuhan pun pernah diperbuatnya.
Katanya ~ Diriwayatkan daripada Tsabit bin Abi Safiyah, katanya : Aku bertanya kepada Abi Ja'far, bahawa telah diceritakan kepadamu oleh Jabir tentang Nabi SAW yang pernah mengambil wuduk ( pada tiap-tiap anggota wuduk ) dengan sekali basuhan, dan dua kali basuhan, dan tiga kali basuhan pada ghalibnya, lalu dijawabnya na'am ( Ya ).

180.) Mukasurat 70 Bab : Pada menyatakan orang yang mengambil air sembahyang maka setengah anggota wuduknya dilakukan dua kali basuhan dan setengahnya tiga kali basuhan kepada anggotanya itu
Bahawasanya telah didatangkan oleh Abu Isa Al-Termizi mengenai hadis tentang kelakuan Nabi SAW yang mengambil air sembahyang - setengah anggotanya dibasuh dua kali dan setengahnya pula dibasuh tiga kali.
Katanya ~ Diriwayatkan daripada Abdullah bin Zaid, bahawasanya Nabi SAW mengambil wuduk ia :
- maka membasuhkan mukanya tiga kali;
- dan membasuhkan kedua-dua tangannya dua kali;
- dan menyapukan kepalanya ( satu kali );
- dan membasuhkan kedua kakinya ( satu kali );
Kata Abu Isa ~ dan bermula ini hadis hasan lagi sahih

181.) Masalah : Membasuh anggota wuduk berlain-lainan kelakuan
Kata Abu Isa bahawa sesungguhnya telah mengharuskan oleh setengah daripada ahlul ilmi pada kelakuan yang demikian itu ( seperti yang di dalam hadis pada masalah 179.) dan 180. ) itu. Bahkan mereka tidak memikirkan bahawa jadi kesalahan jika mengambil wuduk seorang laki-laki pada setengah anggota wuduknya dilakukan tiga kali basuhan, dan setengahnya pula dua kali, atau pun sekali.
Kata Al-Shafie di dalam Al-Umm, kemudian daripada telah beliau mendatangkan hadis-hadis pada bab ini, katanya : Dan bukanlah ini amalan kelakuan Nabi SAW selalunya ( terkadang ia membasuh dua kali dan terkadang sekali dan terkadang tiga kali ), ya'ni perbuatan yang demikian itu bukannya menunjukkan berlain-lainan dan bersalah-salahan. Bahkan Rasulullah SAW apabila ia mengambil wuduk maka dibasuh tiga kali-tiga kali dan terkadang kalanya cuma sekali-sekali basuhan.
Maka yang menunjukkan sebagai yang lebih sempurna dan yang dipilih iaitu tiga kali basuhan. Dan adalah sekali basuhan menunjukkan bahawa telah memadai maka aku suka bagi sesaorang bahawa membasuh wuduk pada muka, dan dua tangannya, dan kepalanya dan dua kakinya tiga kali-tiga kali dan meratakan sapunya.
Maka jika meringkaskan oleh sesaorang pada basuh muka dan dua tangan dan dua kaki atas sekali basuh yang boleh rata, maka basuhan yang demikian itu memadailah baginya. Dan jika meringkaskan sesaorang pada kepala atas sekali sapu dengan sebarang kehendaknya daripada tangannya nescaya memadai juga. Namun yang demikian itu adalah yang sekurang-kurang lazimnya.
Dan jika dibasuh wuduknya itu setengah-setengah anggotanya sekali dan pada setengah-setengah yang lainnya dua kali dan pada setengah-setengah yang lain tiga kali, maka nescaya memadai juga bagi sesaorang. Ini kerana bahawasanya jikalau satu kali basuhan itu apabila telah memadai pada semua anggota nescaya memadailah pula pada setengah-setengahnya.

182.)Mukasurat 71 Masalah: Membasuh anggota wuduk lebih dari tiga kali
Bermula masalah ini nyata di dalam Al-Umm ada tersebut kemudian daripada telah didatangkan hadis Abdullah bin Zaid atas sifat wuduk Nabi SAW.
Kata Imam Syafie : Dan tiada aku suka bagi orang yang mengambil air sembahyang itu lebih daripada tiga kali basuh. Dan jika melebihi ia daripada demikian itu tiadalah aku tegahkannya, Insya Allah Ta'ala.
Kata Abu Isa ~ dan bermula atas hadis di dalam masalah 178.) itu berlaku atas sekelian ahlul ilmi, iaitu bahawasanya wuduk itu memadai dengan sekali basuh. Sedangkan dua kali pula adalah afdhal. Manakala yang lebih-lebih afdhalnya adalah tiga kali. Dan tiada lagi yang lebih afdhal daripada tiga kali itu.
Dan kata Ibn Al-Mubarak dan tiadalah aku mahu mengatakan sejahtera daripada salah apabila melebihi sesaorang membasuh lebih daripada tiga kali.
Dan kata Ahmad bin Hambal dan Ishak ~ tiada lebih atas tiga kali melainkan laki-laki yang dibalakan dengan perasaan was-was.

183.) Mukasurat 71 Bab: Yang telah datang pada menyatakan wuduk Nabi SAW - bagaimana caranya ?
Ketahuilah kiranya ya saudaraku, di dalam bab ini Imam Abu Isa Al-Termizi telah mendatangkan hadis perihal Nabi SAW mengambil air sembahyang - dari awalnya sampai ke akhirnya.
Kata Abu Isa Al-Termizi bahawa telah diriwayatkan daripada Abi Hi'ah -
Katanya : telah aku melihat Syaiddina Ali mengambil air sembahyang sebagaimana Nabi SAW mengambil air sembahyangnya.
Maka mula-mula dibasuh kedua-dua tapak tangannya di luar bejana menurut semacam Nabi SAW sehingga menyucikan kedua belah tangannya sebanyak tiga kali.
Kemudian beliau berkumur-kumur tiga kali dan menghisap air ke hidung tiga kali.
Maka niat untuk mengambil air sembahyang sengaja sudah tersedia daripada masa mula mengambil air sembahyang. Lalu dibasuhkan mukanya sebanyak tiga kali basuhan sebagaimana yang diperbuat Nabi SAW dan kelakuan yang afdhalnya.
Selepas itu dibasuhkan tangannya kemudian daripada telah selesai membasuh mukanya dengan tertib dan mu'alat ( berturut-turut ) iaitu sebanyak tiga kali,
Diikuti dengan menyapu kepalanya sekali yang menunjukkan pada sapu yang demikian.
Kemudian membasuhkan kedua-dua tapak kakinya sampai ke buku lalinya dengan rata membasahi celah-celah jari dan tumitnya.
Setelah daripada selesai wuduknya iapun berdiri untuk mengambil air sembahyang itu maka beliau pun meminum airi dalam keadaann halnya yang berdiri.
Kelakuan Syaiddina Ali berwuduk ini adalah menurut perbuatan Nabi SAW dan menunjukkan kelakuan rupa Rasulullah SAW mengambil air sembahyang dari awalnya sampai akhirnya.
Kemudian berkata Syaiddina Ali :
Aku mengambil wuduk yang sedemikian ini adalah kerana akju suka hendak memperlihatkan kepada kamu sekelian betapa caranya Rasulullah SAW mengambil air sembahyang. Maka kamu semua hendaklah memperbuatlah semacam mana yang aku perbuat, yang caranya aku turut sebagaimana aku lihat Nabi SAW memperbuatnya.
Kata Abu Isa ~ bermula hadis ini hasan lagi sahih.

184.) Mukasurat 72 Masalah: Membasuh tangan dahulu daripada berwuduk
Ya saudaraku, di dalam hadis masalah 183.) itu menyebutkan perbuatan yang awal-awal diperbuat oleh Nabi SAW seperti yang dilakukan baginda Ali itu. Iaitu dengan membasuh tangan sebelum mencelup ke dalam bejana hingga cuci - tangannya.
Kata Imam Syafie - Aku sukakan membasuh kedua-dua tangan sebelum memasukkan keduanya anggota itu ke dalam bejana bagi berwuduk. Ini adalah kerana ia sunat bukannya kerana fardhu.

185.) Masalah: Niat mengambil air sembahyang
Kata Imam Syafie - Dan adalah tiada memadai wuduk itu melainkan dengan berniat. Dan adalah memadai berniat itu padanya bahawa mengambil wuduk dengan niat untuk bersuci daripada hadas atau bersuci kerana sembahyang fardhu atau sunat. Atau sebab bersuci kerana membaca Quran atau sembahyang ke atas jenazah atau pada sebarang pekara yang menyerupai yang sedemikian itu daripada apa-apa yang tidak boleh diperbuat oleh sesaorang melainkan dengan suci sahaja.

186.) Masalah : Niat kemudian dari basuh setengah anggota wuduk
Kata Imam Shafie - Jikalau sesaorang itu mengambil wuduk pada setengah anggotanya dengan tiada berniat kemudian ia berniat bagi segala anggota yang baki-bakinya nescaya wuduk itu tidak memadai baginya. Melainkan jika ia kembali mengambil wuduk pada anggota baki-baki yang tidak berniat itu, lalu ia membaharui niatnya maka memadailah baginya wuduk yang berkenaan.
Kata Abu Muhammad Al-Rabiq bin Sulaiman - Dan membasuh barang yang kemudian daripadanya kerana Imam Shafie berkata demikian pada tempat lain daripada sini.

193.) Bab: Pada menyatakan renjis kemudian daripada mengambil air sembahyang
Ketahuilah kiranya ya saudaraku adalah maksud renjis kemudian daripada wuduk itu telah bersalah-salahan ulamak pada menafsirkannya.
Setengah daripadanya berkata apakala selesai daripada mengambil air sembahyang maka sunatlah merenjis air berbetulan dengan zakar. Ini adalah supaya menghilangkan was-was hati daripada mengatakan bahawa basah yang disyakkan kemudian daripada kencing itu basah disebabkan basah kencing yang tidak betul-betul tus keluarnya. Lihat masalah 190.) maka telah datang hadisnya seperti seperi akan datang ini.

194.) Masalah: renjis air kemudian daripada wuduk dan hadisnya
Kata Imam Abu Isa Al-Termizi di dalam sahihnya bahawa telah diriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW telah bersabda :
Telah datang Jibrail kepadaku menyampaikan hukum Tuhan yang Rahman. Maka katanya :
Ya Muhammad, apabila engkau mengambil wuduk maka hendaklah engkau renjiskan pada kain atau sarfual yang dipakai itu pada tempat yang membetul zakar, supaya dapat menghilangkan was-was hati daripada mengatakan ianya ialah air kencing.
Kata Abu Isa ~ bermula ini hadis ialah hadis gharib.

195.) Masalah: Renjis kemudian daripada wuduk dan hukumnya
Kata Ibn Al-Arabi telah bersalah-salahan ulamak pada takwil hadis di dalam masalah 194.) itu atas empat kaul :
Yang pertama: Maksudnya apabila sesaorang mengambil wuduk maka hendaklah menuangkan air pada anggota wuduk itu sebagai perbuatan menuang yang betul dan jangan meringkaskan atas menyapukannya sahaja. Maka bahawasanya tidak memadai padanya melainkan dengan basuhan yang tiada melampaui.
· Yang kedua ; Buat melepaskan kencing ( isti'brak ) dengan air serta mengurut zakar dan berdehem supaya tus ( habis atau berhenti ) kencing itu. ( Pendapat ini diikuti oleh Mazhab As-Syafie )
· Yang ketiga ; Ditakwil orang – Apabila mengambil wuduk maka hendaklah renjis akan kain yang mengiringi faraj itu dengan air supaya menghilang ia akan was-was.
· Yang keempat ; Ditakwil orang dengan dengan makna istinjak dengan air hal keadaannya isyaratkan himpunan antaranya dan antara batu kerana bahawasanya batu itu mengurangkan dan menipiskan najis dan air itu membersihkan.

196.) Bab : Yang telah datang pada menyatakan wuduk
Ketahuilah kiranya ya saudarku bermula menyempurnakan wuduk itu adalahlah menyempurnakan basuhnya dan mendatangkan segala yang bertali-mali dengannya.
Iaitu apakala mengambil air sembahyang maka pekara yang mula-mula apa diperbuat adalah membasuh tangan di luar bejana tiga kali. Kemudian berkumur-kumur dan istinsyak ( menyedut air ke dalam hidung ) sebagaimana yang afdal, kemudian membasuh muka dengan cukup ingat ( dalam keadaan khusyuk dan sedar ) apabila mengambil air sembahyang itu dan ratakan air di anggotanya serta cukup digosokkan dan mencelah-celahi jari dan menyempurnakan tiga-tiga kali basuh dan sapu dan membasuh lebih daripada sempadan anggotanya maka dinamakan Isba’ ertinya menyempurnakan.
Adapun orang yang tiada Isba’ wuduknya adalah orang yang secara tiba-tiba dalam wuduk itu langsung terus membasuh muka dengan tiadalah membasuh tangan dan berkumur-kumur dan lainnya terlebih dahulu. Dan apabila membasuh muka dan anggota wuduknya terkadang dibasuhnya dua kali tangan kanan dan sekali tangan kiri dan lainnya. Dengan tiada mengelukkan dan menyempurnakannya wuduknya itu. Maka jadilah wuduknya laksana orang yang hendak mendirikan rumah. Di mana tapaknya diada-adakan jua tetapi tidaklah dibersihkannya dan diberi eluk dan jernih rupa.

197.) Mukasurat 75 Masalah : Menyempurnakan wuduk dan hadisnya
Di dalam masalah ini telah didatangkan oleh Imam Al-Termizi rmt pada hadis Isba’i Al-Wudu’ berapa besar darjatnya.
Kata Abu Isa At-Termizi telah diriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW bersabda :
Adakah boleh aku tunjukkan kepada sekelian kamu sesuatu yang dapat menghapuskan oleh Allah dengannya pada kesalahan.
Ya'ni ertinya mahukah aku ajarkan kepada sekelian kamu satu amalan yang akan diampunkan atau dihapuskan Tuhan dosa yang tertulis di dalam daftar malaikat dan diangkatkannya darjat kamu di dalam syurga.
Jawab para sahabat :
Bahkan ya Rasulullah, Ajarkanlah pada kami sekelian supaya kami amalkannya.
Bersabda Nabi SAW lagi : Iaitu dengan kamu menyempurnakan wuduk di atas segala kebencian dan segala mashakah ( kesukaran atau kepayahan, misalnya kerana luka ). Dan membanyak langkah ke mesjid dan menanti sembahyang kemudian dari sembahyang ( misalnya menanti solat isyak selepas melakukan solah maghrib ), maka yang demikian itu tambat diri.*
Kata Abu Isa Al-Termizi ~ bermula ini hadis hasan lagi sahih.
* maksud tambat diri: sesaorang yang sanggup menyempurnakan wuduk dengan sempurna lalu melangkah berjalan pergi ke mesjid, kemudiannya sabar menunggu dari satu sembahyang ke satu sembahyang yang lain maka amalan-amalan ini akan menjadi satu tali yang boleh mengikat dirinya sehingga teguh, kuat dan kemas Islam serta imannya.

198.) Masalah : Menyempurnakan wuduk atas kebencian dan maksudnya ?
Bermula yang dimaksudkan sebagai menyempurnakan wuduk dalam hadis 196.) ialah sebagai dalam keterangan di dalam masalah 192.) .
Maka dengan yang perbuatan yang demikian itu akan diberikan oleh Allah Ta'ala beberapa pahala. Oleh itu bagi menambahkan darjat dan menghapuskan dosa ialah dengan beramal seperti sabda Nabi SAW. Iaitu menyempurnakan wuduk pada segala mashakah atau kebencian.
Ya'ni bagaimana susah dan pedih rasa menanggungnya sekali pun maka engkau sempurnakan juga sebagai yang disebutkan di dalam masalah 196.) tadi pada wuduknya.
Misalnya jikalau engkau terasa sejuk yang teramat sangat atau engkau merasa pedih luka akibat daripada luka pisau dan merasa sayang untuk menanggalkan balutnya disebabkan mashakah itu, maka tetap engkau lawan dan sempurnakan juga wuduk itu.
Atau seperti enggan memakai balutan luka atau membuang kesemua ubat-ubatan dan sanggup menanggung pedih semata-mata kerana mengambil air sembahyang itu. Maka dengan dengan yang demikian akan dapat martabat dihapuskan dosa dan mendapat beberapa darjat di syurga.

199.) Masalah : Langkah banyak ke mesjid besar pahalanya
Adalah dengan sambungan hadis di dalam masalah 197.) itu dapat kita mengetahui bahawasanya orang yang banyak datang ke mesjid itu besar pahala kepadanya.
Sabda Nabi SAW : Dan perbanyakkanlah langkah ke mesjid. Ya'ni orang-orang yang tinggal jauh dari mesjid dan selalu datang ke rumah Allah itu maka ialah orang yang dihapus Allah Ta'ala dosanya atau dipadamkan segala dosa yang diperbuatnya dari dalam daftar malaikat atau diampun semua dosanya dan mendapat beberapa darjat syurga.

200.) Mukasurat 77 Masalah : Langkah banyak ke mesjid dan maksudnya
Adalah yang dimaksudkan dengan memperbanyakkan langkah itu adalah daripada sebab jauh letak rumahnya dari mesjid serta kesanggupan untuk datang banyak kali.
Maka janganlah disangkakan oleh orang-orang yang dekat rumahnya dengan mesjid maka kerana berkehendak banyak langkah ke mesjid maka pergi ia memperbuat perjalanannya ke mesjid itu dengan pusing belit jalannya. Maka yang demikian itu tidak termasuk di dalam bilangan yang disebutkan ini.
Ataupun mesjid yang dekat rumahnya ada tetapi dengan kerana ia berkehendakan langkah yang banyak maka pergi ia ke mesjid yang jauh dan meninggalkan mesjid yang dekat.
Maka langkah yang demikian itu tiadalah masuk kira melainkan sebab ia pergi ke mesjid jauh itu kerana maksud yang tidak ada pada mesjid yang dekat dengan rumahnya, seperti kerana menuntut ilmu. Atau pun kerana tiada mesjid yang berdekatan terdapat orang-orang yang bersembahyang berjemaah atau lainnya maka langkah seperti itu akan dimasuk bilang.

201.) Masalah : Menanti sembahyang kemudian daripada sembahyang
Bahawasanya telah lalu di dalam hadis pada masalah 197.) itu menyebutkan menanti sembahyang kemudian daripada sembahyang itu amat besar pahalanya iaitu dihapuskan dan dipadamkan dan diampunkan oleh Allah segala dosanya, serta diberi pangkat-pangkat di dalam syurga.
Maka menanti sembahyang itu adalah dengan duduk menanti sembahyang jemaah di dalam mesjid daripada satu waktu kepada satu waktu yang lain. Maka misalnya daripada Asar menanti jemaah Maghrib, dan daripada Maghrib menanti jemaah Isyak. Kemudian daripada itu pulang tidur maka datang terlupa pula menanti sembahyang cara ibadah iaitu tiga tadi dan pada subuh. Dan tiada ada nanti antara Isyak dan Subuh.
Itulah makna sabda Nabi SAW : Dan menanti sembahyang kemudian daripada sembahyang. Maka perbuatan yang demikian itu semuanya dianggap sebagai tambat diri dan nafsu serta taat, ya'ni menambatkan diri dengan melakukan ketaatan kepada Allah SWT.

202.) Masalah : Bergantung hati dengan sembahyang
Ya saudaraku, adalah hadis di dalam masalah 201.) itu bermaksud sebagai bergantung hati dengan sembahyang. Maka bergantung hati ini terserlah pada segala sembahyang yang lima waktu.
Kafiat bergantung hati dengan sembahyang itu iaitu apabila selesai sembahyang yang dikerjakannya, maka tidak lepas daripada mencintakan sembahyang yang dibelakangnya seolah-olahnya di dalam hati tiada lupa dan tiada lali sebagai loba dan tamak hendak mencapai mengerjakannya dan melepaskan yang fardhu di atas batang lehernya. Demikian daripada satu waktu kepada satu waktu bersedia dan berkemas dan mencinta dan bersungguh-sungguh hati hendak mengerjakan tiada lupa sekali-kali akan demikian itu.
Sabda Nabi SAW : Dan menanti sembahyang kemudian daripada sembahyang, maka yang demikian itu tambatan nafsu . Maka orang yang demikian itu diampunkan Allah sekelian dosanya dan diberi kepadanya beberapa darjat di dalam syurga.

203.) Mukasurat: 78 Bab : Telah datang ia pada menyatakan menyapu tangan kemudian daripada wuduk ( mengeringkan anggota wuduk selepas mengambil wuduk )
Bermula yang dikehendakkan dengan sapu tangan di sini ialah sebarang apa kain atau seumpama tuala tekap tubuh bagi menyapu basah di muka dan tangan dan lainnya daripada air sembahyang. Kerana bermaksud hendak lekas mengeringkan basah tubuh. Maka bersapu dengan satu kain atau secebis daripadanya atau daripada baju kain yang dipakainya keringlah ia dengan segera.

204.) Masalah: Sapu tangan bagi mengeringkan wuduk dan hadisnya
Bahawasanya telah dikeluarkan oleh Imam At-Termizi rmt dengan dua sanad ( riwayat ) yang daif mengenai hadis bahawa Nabi SAW pernah menyapu wuduknya untuk memberi kering.
Katanya bahawa telah diriwayatkan daripada Muaz bin Jabal, katanya telah aku lihat akan Nabi SAW apabila mengambil wuduk ia menyapu ia akan mukanya dengan hujung kainnya supaya segera kering.
Kata Abu Isa ~ bermula hadis ini gharib lagi daif.

205.) Masalah: Menyapu wuduk supaya segera kering dan hukumnya
Kata Ibn Arabi telah bersalah-salahan ulamak pada masalah ini atas tiga kaul.
i.) Pertama : Harus menyapu basah wuduk dan mandi junub. Telah dinyatakan oleh Malik dan As-Shauri. Ini kerana apabila kita mengambil air sembahyang itu bukankah ia bermaksud berbuat ibadat ? Maka apabila sudah selesai dikerjakan maka berhasillah ibadat itu. Dan apakala telah berhasil ibadat maka menyapunya kemudian daripada selesainya tiada memberi bekas atau kesan pada ibadat itu.
ii.) Kedua : Makruh menyapu pada basah wuduk dan mandi junub kerana air itulah bekas dari kerja ibadat. Maka bekas ibadat itu tidaklah boleh disapu supaya nanti akan menjadi saksi atau nur di akhirat kelak.
Lojiknya cubalah dilihat pada orang yang mati syahid, kenapakah tidak disuruh oleh syarak memandikannya ? Bukankah supaya darahnya itu menjadi saksi dirinya terlibat di dalam perang ? Maka begitulah juga air wuduk itu jangan dikeringkan supaya ia akan menyaksikan mengambil wuduk di dunia.
Maka telah berkata makruh itu Ibn Umar dan Ibn Abi Laila bahawasanya Nabi SAW menolak sapu tangan yang diberi Maimunah ( isteri Nabi SAW ) kepada baginda buat sapu mengeringkan wuduk. Dan telah memilih kaul makruh ini oleh Abu Haman daripada Ashab Al-Syafie.
iii.) Ketiga : Memakruhkannya oleh Ibn Abas pada wuduk, namun tidak pula makruh pada mandi wajib. Dan kata Al-A’mash - hanyasanya dimakruhkannya pada wuduk itu adalah kerana takutkan menjadi adat ( amalan )

206.) Mukasurat 79 Masalah : Kanan dan kiri dan hadisnya
Ya saudaraku, adalah Rasulullah SAW itu amat suka membuat satu pekerjaan yang berbentuk kebajikan lagi mulia. Dan jika ada pada perkerjaan itu kanan atau kiri maka baginda akan dahulukan yang kanan atas kirinya.
Maka hadisnya iaitulah diriwayatkan daripada Siti Aisyah r.a bahawa Rasulullah SAW suka ia akan menggunakan kanan lebih dahulu daripada kiri pada bersucinya.
Ya'ni pada wuduk dan mandi hadas Nabi SAW apabila baginda bersuci. Ya’ni apabila mengambil wuduk atau mandi hadas. Dan pada menggunakan kaki kanan dahulu daripada kaki kiri apabila menggunakan ia akan dia. Ya'ni memakai seluar dengan kanan dahulu, dan memakai kasut dan masuk mesjid dan masuk ke majlis Quran –semuanya dengan kanan dahulu daripada kirinya.

207.) Masalah: Kanan kiri dan tempat-tempat gunanya
Bahawasanya kaedah yang beri kekalan pada syarak menggunakan kanan itu iaitulah pada tiap-tiap barang yang dihormati lagi mulia. Seperti memakai kain hendaklah sarungkan kaki kanan dahulu, dan memakai seluar, kasut masuk mesjid, bersugi, bercelak, bergunting misai, bersikat rambut, mengerat kuku, mencabut bulu ketiak, cukur kepala, memberi salam sembahyang, mandikan anggota junub, keluar dari jamban, berjabat tangan, menyapu hajar aswad ( di mikat ) dan lain daripada itu semuanya dengan kanan dahulu oleh syarak.
Adapun kiri digunakan pada lain-lain misal yang tersebut itu. Seperti keluar dari mesjid, maka keluarkan kaki kiri dahulu, dan masuk jamban, mengeluarkan hingus, istinjak, menanggalkan kain, mencabut seluar, menanggalkan kasut dan barang yang menyerupai yang demikian sunat dengan kiri belaka.

208.) Masalah : Kanan kiri dan hukum menggunakannya
Bahawasanya telah idjmak ulamak atas bahawasanya mendahulukan kanan atas kiri itu sama ada tangan atau kaki pada wuduknya itu sunat jua. Maka jikalau menyalahi sesaorang akan dia nescaya luput afdhal dan sah wuduknya.
Kata Imam Syafie rmt di dalam Al-Umm - Dan memulai sesaorang itu dengan kanan daripada tangannnya dahulu daripada kiri. Maka jika memulai dengan kiri dahulu daripada kanan aku tiada suka yang demikian itu dan tiada aku memikirkan dan aku iktikadkan atas mengambilkan wuduk. Dan sesetengahnya telah tersimpul idjmak ulamak atas bahawasanya setengah daripada anggota wuduk itu barang yang tiada sunat atasnya mendahulukannya kanan iaitu dua telinga dan dua tapak tangan dan dua pipi bahkan suci kedua-duanya itu dengan sekali sapu. Maka jika sekiranya uzur dengan sebab kudung tangan umpamanya maka dahulukanlah dengan yang kanan.

209.) Mukasurat 80 Bab : Barang yang diucap kemudian daripada wuduk
Bahawasanya telah datang hadis dikeluarkan oleh Imam Termizi rmt bahawasanya ada ucapan dan doa kemudian daripada wuduk. Katanya – diriwayatkan daripada Umar Bin Al-Khattab r.a katanya telah bersabda Rasulullah SAW : “ Barangsiapa mengambil wuduk ia maka mengeluk ia dan tiada mencela-celakan dan selewengkan wuduknya bahkan rata basuhnya dan sapunya dan mendatangkan yang sunat-sunatnya, kemudian mengucap ia :
Nescaya membuka Allah baginya lapan pintu syurga, masuklah ia dari mana pintu yang dikehendakinya.
Kata Abu Isa ~ bermula hadis ini makhtuq lagi madhrib.

212.) Masalah : Doa wuduk dan maknanya serta makhumnya
Bermula doa wuduk dan ucapan yang pada hadis di dalam masalah 209.) tadi begini maksudnya:
Aku naik saksi ya'ni berikrar aku dengan lidahku dan beriktikad, dan mengaku aku dengan hatiku bahawasanya tiada Tuhan yang mustahak disembah melainkan Allah semata-mata yang tiada sekutuNya dan setaraNya. Dan aku ikrarkan dengan lidahku dan aku benarkan dan percayakan dihatiku bahawasanya Nabi Muhammad SAW itu hambaNya dan pesuruhNya. Ya tuhanku jadikan olehMu akan daku daripada orang yang taubat apabila jatuhku di dalam mengerjakan dosa dan ilhamkan taubat kepadaMu dan jadikan olehMu akan daku daripada orang yang suci ya’ni lepas daripada dosa dan kesalahan yang terlanjur, dan lepas dari berlumur dengan kesalahan yang lagi akan datang. ( Atau bermakna: Dan jadikan olehMu diriku suci dan bersih daripada segala perangai yang dikeji syarak ) .

Bab : Pada Menyatakan Mengambil Air Sembahyang Dengan Secupak Air

Ketahuilah kiranya ya saudaraku, mengambil air sembahyang itu ada dengan peraturan memakai air yang diperbuatkan mengambil air sembahyang itu. Maka di sini ada diterangkan Insya Allah sebagaimana yang diittifakkan ulamak kemudian daripada telah diselidiki banyak mana nabi SAW memakai air dan telah didapati berbagai-bagai banyak sedikit air yang diperbuatnya mandi pada beberapa hadis.

213.) Masalah : Air wuduk dan kadarnya
Telah datang riwayat daripada Termizi menyebutkan hadis kadar air yang diperbuat Nabi akan wuduknya. Katanya diriwayatkan daripada Safinah bahawasanya Nabi SAW adalah ia mengambil wuduk dengan kadar secupak air iaitu dua rhadal ( pot / tin susu ). Dan mandi hadas ia dengan satu gantang air iaitu lapan rhadal.
Kata Abu Isa ~ dan pada bab ini ada riwayat daripada Siti Aisyah r.a dan Jabar dan Anas bin Malik. Dan bermula hadis Safinah itu hadis hasan lagi sahih.

214.) Mukasurat 82 Masalah : Air wuduk dan hukum kadarnya yang digunakan
Kata Abu Isa telah memikir setengah daripada ahlul ilmi akan kadar air wuduk itu sebagai di dalam hadis pada masalah 213.) itu iaitulah secupak air pada wuduk ya’ni dua rhadal. Dan mandi segantang air dan iatu lapan rhadal. Dan berkata As-Syafie dan Ahmad dan Ishjak bukanlah makna hadis pada masalah 213.) itu daripada menetapkan bahawasanya tiada harus memakai air lebih daripadanya dan tiada boleh kurang daripadanya. Bahkan pakailah kadar barang yang memadai.
Kata Imam Nawawi - telah Idjmak sekelian muslim atas bahawasanya air yang memadai pada wuduk dan mandi tiada ada dikadarkan. Bahkan memadai ia sedikit dan banyak menurut kadar cukup berlari air itu atas anggota yang mengambil wuduk.
Dan telah berkata Imam Syafie dan terkadang berjimat sesaorang dengan sedikit maka memadai baginya, dan bermewah dengan banyak maka tiada memadai.

[ * Ulasan: Air yang banyak digunakan belum tentu sah dan sempurna wuduk, begitu juga air yang sedikit jika sempurna penggunaannya sah wuduk ]
Kata Imam Nawawi rmt telah berkata ulamak : dan bermula yang sunat bahawa tiada mengurangkan pada mandinya daripada satu gantang dan tiada lebih wuduknya itu daripada satu cupak . Dan telah menyebut satu jemaah daripada ashab kita akan satu wajah bagi setengah ashab kita bahawasanya segantang itu di sini ialah lapan rhadal dan satu cupak itu ialah satu rhadal.