RAMADHAN BERMULA SYAWAL MENJELANG. Kaum Muslimin yang berbahagia, Bertaqwalah kepada Allah dan bersama-sama kita bersyukur kepada Allah S.W.T, di mana dengan limpah kurnia-Nya serta keizinan yang diberikan kepada kita, maka kita semua telah dapat menunaikan ibadat Ramadhan yang kita lakukan pada kali ini dengan sempurna dan sebaik-baiknya. Kita juga bertekad dan mengakui bahawa kita akan pertingkatkan lagi ibadat puasa kita itu, sekiranya Allah S.W.T. memberikan lagi kesempatan di tahun-tahun yang akan datang, mudah-mudahan Amin, Ya Rabbal A'lamin. Sama-sama disedari bahawa kejayaan Ramadhan itu bukan hanya terbatas kepada kemampuan dan keupayaan kita dengan tidak makan dan tidak minum sahaja kerana sebenarnya tidak makan dan tidak minum itu hanyalah semata-mata rupa nama pada ibadat puasa, sedangkan latihan-latihan dan pengajaran dari ibadat itu ialah suatu hal yang lain dari itu. Kerana kalau tidak makan dan tidak minum sahaja, mungkin orang lain juga yang bukan Islam atau lebih-lebih lagi orang yang uzur dan sakit barangkali boleh buat lebih hebat dari itu, kerana mereka juga biasa tidak makan dan tidak minum, demikian juga orang-orang yang kebuluran, tidak mendapat makanan atau minuman. Oleh yang demikian kehebatan Ramadhan dengan ibadat puasa itu ialah terletak pada latihan dan pengajarannya. Kerana pada Ramadhan itu ada latihan- latihan tersendiri, seperti latihan menahan marah, latihan untuk membalas ihsan, latihan mengawal nafsu, latihan menjauhi sifat takbur dan yang lebih hebat sekali ialah latihan supaya seseorang itu mengenali diri sendiri, siapakah dia yang sebenarnya, sama ada ia tergolong dalam kalangan orang-orang yang baik di sisi Allah S.W.T. ataupun sebaliknya. Kita wajib mengenali diri kita sendiri, bagaimana nafsu kita misalnya, bukan sahaja ia berjaya menipu orang lain, tetapi ia juga pintar untuk menipu dirinya sendiri. Memanglah kita juga sebenarnya dapat mengenali diri kita melalui berpuasa itu, tentang kadar sebenarnya makanan dan minuman yang diperlukan oleh tubuh badan kita seharian, berbanding dengan apa yang kita minum dan apa yang kita makan ketika hendak berpuasa, di mana sudah barang tentu banyak dari kadar yang diperlukan. Oleh yang demikian ternyata sekali, kenapa Allah S.W.T. menegaskan bahawa kefardhuan puasa itu ditetapkan iaitu supaya kamu bertaqwa, kerana paling utama kejayaan yang dicapai oleh orang yang bertaqwa itu ialah orang yang berjaya mengawal nafsunya dan ternyata di antara punca-punca utama yang boleh merosakkan seseorang manusia itu ialah nafsunya yang tidak dikawal, baik dalam makan minum dan sebagainya. Banyak kes didapati kenapa seseorang itu harus merompak, menyamun, rasuah dan berbagai-bagai lagi, maka umumnya jawapannya ialah kerana tidak ada makan dan kerana hendak hidup. "Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakkan di muka bumi. (al-Baqarah:60)" Dari ayat ini jelaslah Allah S.W.T. membenarkan kita makan dan minum, tetapi janganlah kerananya atau selepas itu bila kamu kenyang dan mewah dengan makanan, maka kamu penuhi bumi Allah ini dengan berbagai-bagai kerosakkan dan maksiat. Kaum Muslimin yang berbahagia, Hari ini kita berhari Raya, bukan bermakna kita telah bebas dari latihan-latihan Ramadhan yang telah kita lalui itu. Kerana Ramadhan hanya latihan, maka kejayaan kepada latihan itu ialah tindakan susulan oleh seseorang selepas latihan itu kerana sememangnya tujuan sesuatu latihan itu ialah untuk mengamalkan hasil latihannya selepas itu. Tidak ada latihan bertujuan tidak baik, kecuali latihan pada perkara-perkara yang tidak baik pula. Lazimnya latihan yang dibuat umumnya ialah untuk menambah kecekapan, menambah kemahiran, menambah keyakinan serta untuk mengubah sikap dari malas kepada rajin, daripada ingkar kepada beriman, dengan harapan latihan-latihan itu akan memberikan pulangan yang baik, pendapatan bertambah, daya pengeluran meningkat atau produktiviti yang lebih menguntungkan serta disiplin masyarakat yang tinggi. Demikian pula Ramadhan, latihan akan memberi makna kepada setiap muslim apabila hasil latihan itu diamalkan bermula pada Hari Raya ini hinggalah seterusnya. Dalam latihan mengawal nafsu yang telah dijelaskan tadi maka apakah ertinya puasa kita setiap tahun andainya umat Islam kembali balik semula kepada kegelojohan dan keganasan nafsunya, bukan sahaja selepas Hari Raya, bahkan pada Hari Raya itu sendiri jelas sekali umat Islam itu telah dikuasai semula oleh nafsunya. Nafsu makan minum kembali semula dengan gelojohnya, sebab itulah banyak orang menyediakan persiapan Hari Raya dengan kuih-muih yang melebihi batas-batas wajar, membazir dan boros.Nafsu hiburan pula telah memainkan peranan utama memupuk kita ke arah kebuasan supaya lupa kepada kesan latihan Ramadhan, sama ada hiburan dari dalam mahupun dari luar negeri, masing-masing berlumba-lumba dengan menggunakan nama dan lambang Hari Raya. Hari Raya telah telah dicemarkan oleh ini semua, dengan bermaharajalelanya nafsu manusia yang liar dan tidak bersopan. Inilah sebenarnya apa yang diumpamakan oleh Baginda Rasulullah S.A.W, bahawa syaitan yang telah dibelenggukan pada bulan Ramadhan itu telah dilepaskan semula. Banyak perbelanjaan yang kita habiskan untuk itu semua berbanding dengan perbelanjaan yang dibelanjakan untuk tujuan supaya latihan-latihan Ramadhan itu dapat diamalkan seterusnya oleh masyarakat. Sedangkan negara kita dan masyarakat kita amat memerlukan lebih ramai orang yang rajin, lebih banyak orang yang mampu memberikan pulangan kepada masyarakat dan negara dengan daya pengeluaran yang lebih meningkat serta produktiviti yang lebih menguntungkan dengan kedudukan umat yang cukup bermaruah dan lebih bertanggungjawab serta mempunyai kesedaran sivik dan akhlak yang cukup tinggi. Tetapi dengan kembali semula kepada keadaan di luar dari latihan Ramadhan bermaharajakan nafsu, maka tujuan dan kehendak ini semua hanyalah tinggal impian semata-mata. Itulah apa yang kita dapati di negara- negara maju, walaupun mereka maju tetapi sebenarnya masyarakat mereka telah runtuh. ------------------------------------------------------- Kaum musllimin yang berbahagia, Sesungguhnya hidup ini hakikatnya amat memerlukan hidayah Allah, tanpa hidayah dari Allah S.W.T. seluruh kehidupan tidak akan aman dan tidak akan selamat. Firman Allah yang bermaksud: "Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-Rasul dan Kitab-Kitab yang diturunkan) maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.(Al-Baqarah:38)" Manusia yang mendapat petunjuk daripada Allah akan tercerna pada dirinya nilai-nilai murni iaitu iman dan taqwa. Manakala iman dan taqwa akan menjadikan manusia sentiasa berdisiplin terhadap peraturan-peraturan Allah serta peraturan-peraturan dalam hubungannya sesama manusia. Menyentuh persoalan disiplin umat lebih-lebih lagi dalam suasana menyambut idul Fitri ini, kita amat merasa dukacita kerana saban tahun kita melihat pertambahan peratus manusia yang terkorban dalam kemalangan akibat sikap tidak berdisiplin di jalanraya. Pengalaman yang berlaku pada tahun-tahun yang lalu sudah cukup bagi kita untuk menjadi pengajaran apakah maknanya bergembira dan berhari Raya apabila dicelah-celah kegembiraan itu, terselit berita duka dan menyayat hati. Yang sepatutnya berita sedih itu dapat dielak dan diatasi melalui tindakkan berhemah di jalanraya. Tetapi kerana sikap yang gelojoh, tidak bertimbang rasa, mahu menunjukkan hero, maka mereka menjadi mangsa kecuaian diri sendiri serta mengorbankan orang lain. Jadi, inilah yang ingin kita kepada pengguna-pengguna jalanraya dalam suasana keghairahan balik kampung ini. Walaupun kempen keselamatan jalanraya dilakukan oleh banyak pihak sama ada agensi kerajaan mahupun swasta, tetapi kejayaan kempen ini pokok pangkalnya bergantung kepada sikap pengguna jalanraya itu sendiri. Sebenarnya kitalah yang merosakkan diri sendiri. Ini jelas dari firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: "Usahlah kamu mendedahkan diri kamu kepada kebinasaan, kerana itu jika kita leka, lalai, gelojoh dan sebagainya bermakna kita telah membawa diri kita ke arah kebinasaan iaitu maut". Memandu terlalu laju, menggunakan jalanraya secara tidak berhemah, mementingkan emosi serta perasaan sendiri tanpa pertimbangan orang lain adalah antara orang yang menempah kepada kebinasaan. Maka ini dikutuk oleh Islam. Oeh itu, kita mengalu-alukan pengguna jalanraya keseluruhannya agar menggunakan jalanraya dengan berhati-hati, berhemah, sabar dan bertanggungjawab. Delivered by: Ustaz Pirdaus b. Hj. Ismail Date: 30 January 1998